JAWAPAN TUHAN YANG SUNGGUH MEMUASKAN.
Nama saya Tarmizi, seorang Melayu dari Malaysia. Semasa saya remaja, saya pernah mengambil satu kursus tentang agama Kristian melalui pos kerana ingin tahu kepercayaan agama itu. Kursus itu telah membantu saya mengetahui tentang asas-asas agama Kristian dan persamaannya dengan agama Islam. Sesudah itu saya telah mengunjungi sebuah gereja. Saya dapati reka bentuk gereja itu tidak banyak bezanya dengan sebuah masjid dan juga tidak ada sebuah patung atau berhala pun di sana. Di akhir waktu sembahyang saya diberi satu risalah dan digalakkan supaya memikirkan dengan masak-masak tentang apa yang akan saya percaya.
Di dalam hati saya, saya mahu percaya, tetapi saya mempunyai banyak persoalan yang belum terjawab. Soalan-soalan seperti "Apakah kebaikannya jika saya menjadi pengikut Isa Al-Masih? Apakah yang akan saya hadapi?" dan "Adakah ini satu langkah yang betul?" Soalan-soalan begini selalu menghantui saya. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk kembali semula kepada agama Islam.
Apabila saya dewasa, saya telah pergi ke Mekah untuk menunaikan ibadah umrah. Saya memperhatikan aktiviti-aktiviti orang daripada pelbagai bangsa dan negara yang ada di sana. Saya dapat melihat dengan jelas fahaman-fahaman dan mazhab-mazhab yang berbeza terdapat di dalam Islam. Ini jelas kelihatan melalui amalan-amalan bersolat yang berbeza-beza. Walaupun mempunyai fokus dan arah yang sama, mereka berdoa dengan cara yang amat berlainan!
Saya berpendapat bahawa untuk memperolahi pengampunan daripada Allah, ibadat Umrah harus dikerjakan dengan cara yang betul dan rapi. Apabila saya melihat cara mengerjakan ibadah serta bersolat dsbnya. yang berbeza-beza itu saya bertanya, "Adakah cara mereka itu menjamin pengampunan dosa dan penyelamatan daripada Allah? Bagaimana pula dengan cara saya bersembahyang?"
Di dalam hati saya, ketika itu timbul banyak persoalan-persoalan. Saya bertanya kepada diri saya sendiri "Mengapa kita mengamalkan ibadah cara begini dan apakah sebenarnya yang kita lakukan itu?". Nampaknya kerana ada seorang nabi telah melakukannya pada suatu masa dahulu, maka sekarang saya juga harus mengikuti apa yang telah dilakukannya. Saya meragui logik ini. Saya berfikir, "Hal-hal ini telah dilakukan kira-kira seribu empat ratus tahun yang lepas. Apakah saya sedang melakukan perkara yang betul? Di waktu itu fikiran saya mulai bercelaru.
Apabila kembali ke tanahair, fikiran saya bertambah keliru, akhirnya saya berhubung dengan sebuah gereja dan membuat temu janji untuk bertemu dengan salah seorang dari gereja tersebut. Dia telah berusaha menjawab soalan-soalan yang saya kemukakan dan menerangkan ajaran-ajaran Isa Al-Masih kepada saya. Salah satu daripada soalan saya ialah tentang patung berhala. Jawapan ahli gereja itu ialah bahawa penggunaan patung itu adalah tidak betul. Dia juga telah menjelaskan banyak perkara kepada saya dan kemudiannya memberikan saya satu risalah untuk dibaca.
Setelah membaca risalah itu, saya telah berjumpa dengannya sekali lagi lalu memberitahunya yang saya memutus untuk percayai Isa Al-Masih sebagai Penyelamat saya. Saya bertanya "Bolehkah anda memimpin saya menerima Isa Al-Masih sebagai penyelamat saya?" Pada hari itu dia memimpin saya dalam satu doa, yaitu doa pertaubatan dan penyerahan diri saya terhadap Allah.
Seorang kawan telah memberi satu buku rujukan yang mengandungi jawapan-jawapan dari AlKitab, kitab suci orang-orang Kristian, yang telah banyak membantu saya dan menemukan jawapan kepada soalan-soalan dalam diri saya sendiri. Sekarang saya tidak lagi bertanya "Mengapa?", Saya sudah menemukan jawapannya iaitu Isa Al-Masih. Sesungguhnya Isa Al-Masih dan juga ajaran-ajarannya ialah jawapan kepada semua soalan-soalan tentang kehidupan, akhlak dan akidah manusia. Apakah anda sudah menemukannya?
Menarik sekali kesaksian En.Tarmizi itu. Ibadah haji atau umrah lazimnya dilakukan untuk memohon pengampunan daripada Allah. Setiap mukminun yang mengunjungi Baitullah berharap agar dosa mereka dapat ditebus dan agar mereka memperolehi pengalaman yang istimewa dengan Allah Taala.
Sekiranya mukminin mendapat pengampunan daripada Allah, pastinya mereka akan memperoleh kegembiraan di dalam hati mereka, tetapi bagaimana pula dengan mukminin yang pulang dalam keadaan yang sama seperti sebelum ke Baitullah, yang pulang tanpa sebarang perubahan, mengalami perasaan takut yang mengelirukan fikiran serta tetap merasa kosong tanpa sebarang makna?
Saudara Tarmizi tidak memperolehi apa yang diingininya melalui ibadah umrahnya. Setelah dia kembali ke Malaysia, hatinya tetap merasa kosong dan gelap sahaja serta masih mencari-cari akan kebenaran. Dia telah merujuk dengan ahli-ahli Kitab yang lain (yakni pemilik-pemilik Injil) dan telah mendapat penerangan tentang siapakah sebenarnya Isa Al-Masih itu. Barulah saudara Tarmizi telah insaf bahawa hanya Al-Masih 'Isa itulah satu-satunya jalan penyelamatan dan kepenuhan hidup yang sempurna serta penyelesaian ujian-ujian hidupnya.
Setiap agama mempunyai kota sucinya yang tersendiri. Mekah merupakan kota suci bagi umat Islam manakala Baitulmuqaddis atau Yerusalem pula adalah kota suci bagi orang Yahudi. Tempat-tempat ini dianggap suci dalam konsep penyembahan mereka, tetapi sebenarnya fahaman itu berbeza dengan konsep Tuhan. Di dalam dunia ini tidak ada tempat 'suci' kerana dunia ini cukup penuh dengan pencemaran - pencemaran rohaniah dan juga jasmani. Hanya di syurga sahajalah tempat suci bagi Tuhan untuk selama-lamanya.
Peristiwa yang tercatat dalam Injil, Yohanes 4:19-24 menceritakan tentang persoalan kota suci, di mana seorang perempuan dari Samaria bertanya Isa Al-Masih di manakah tempat kota suci itu. Perempuan itu berkata, "Nenek moyang kami menyembah Allah di Gunung Jabal Jizrim ini tetapi orang Yahudi menganggap Baitulmuqaddis kiblat mereka." Isa berkata, "Percayalah, akan tiba masanya orang tidak akan lagi menyembah berkiblatkan gunung ini atau menghadap ke Baitulmuqaddis. Masanya akan tiba, apabila penyembah yang benar akan menyembah Allah dengan kuasa Roh. Merekalah akan Allah panggil orang-orang beriman. Allah itu Roh dan kita hanya menyembah Allah dengan kuasa Roh yang tidak mempunyai kiblat."
Orang Islam percaya Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya telah membangunkan Kaabah di Mekah, yang merupakan kiblat bagi semua umat Islam. Akan tetapi kita mesti ingat bahawa Allah tidak tinggal di dalam rekaan-rekaan yang dibuat oleh tangan manusia, seperti yang dikatakan Allah melalui nabi Yesaya:
"Langit adalah tahtaKu, dan bumi adalah tumpangan kakiKu. Rumah apakah yang akan kamu dirikan bagiKu?" Demikian firman Tuhan, "Tempat apakah yang akan menjadi perhentianKu?"
Allah inginkan kita mengalamiNya di mana pun kita berada. Sesiapa yang beriman kepada Isa Al-Masih dengan penuh keyakinan akan dapat masuk kehadiran Allah dengan penuh yakin dan berani. Isa Al-Masih pernah berkata kepada pengikut-pengikutNya:
"Akulah jalan untuk mengenal Allah, Akulah kebenaran dan Akulah jalan kehidupan kekal. Tidak seorang pun dapat datang kepada Allah kecuali melalui Aku". (Yahya 14:6).
Sudahkah anda mengenal Allah dan hidup yang Isa Al-Masih tawarkan kepada semua manusia?
Untuk mendapat maklumat lanjut tentang Isa Al-Masih atau risalah serta kitab Injil dengan percuma, hubungilah kami di alamat emel dibawah muka surat ini.