English Version

Kesaksian Aishah

Saya dididik oleh ibubapa saya mengenali dan mengamal rukun Islam dan rukun Iman. Saya tidak pernah meragui atau menyoal ajaran Islam yang telah diajar semenjak kecil lagi. Tetapi pada suatu hari semasa saya menuntut diuniversiti, seorang rakan kuliah saya yang beragama Kristian bertanya soalan ini kepada saya, " Jika kamu mati sebentar lagi, tahukah kamu samada kamu akan ke syurga atau neraka?" Saya tersentak dengan soalan ini kerana tiada siapa pun pernah menyoal saya mengenai perkara ini. Namun demikian saya cuba juga menjawap soalannya. Jawapan saya kepada soalan itu adalah "Saya tidak tahu. Kewajipan saya adalah memenuhi semua amalan dalam rukun Islam dan rukun Iman dengan harapan Tuhan akan menerimanya dan apabila saya mati saya harap segala amalan ini akan menyelamat saya dari api neraka". Rakan saya seterusnya berkata "Bagi orang Kristian, kami tahu bahawa bila kami mati kelak kami akan ke syurga." Saya terdiam mendengar jawapannya. Dalam hati saya berfikir betapa bongkaknya rakan saya ini. Nabi Muhammad sendiri tidak pernah mengakui bahawa beliau akan ke syurga bila mati kelak. Apa lagi manusia biasa seperti kita ini.

Semenjak perbualan kami itu saya sering kembali kepada persoalan yang dikemukakan oleh rakan saya itu. Apa yang menyebabkan orang Kristian begitu pasti mengenai nasib mereka di akhirat nanti? Soalan inilah yang mendorong saya untuk membaca kitab Injil. Setelah membaca kitab Injil, dua perkara yang menarik perhatian saya adalah:

(1) Surah Romans 3:23-25 "…keseluruhan manusia telah berdosa dan jauh daripada hadirat Allah yang menyelamatkan. Oleh rahmat Allah yang diberi dengan percuma, manusia diperdamaikan dengannya dengan perantaraan Yesus Kristus yang membebaskan mereka. Allah mempersembahkan Yesus Kristus supaya dengan kematiannya dia menjadi jalan pengampunan dosa bagi mereka yang percaya kepadanya".

Jelas dari surah ini, manusia diselamatkan oleh iman kita kepada Nabi Isa. Ini bukan merupakan hasil usaha kita melainkan berkat Allah. Dengan ini tiada siapa pun boleh memegahkan diri mereka dengan amalan mereka. Kita semua tiada perbezaan dihadapan Tuhan yang Maha Kuasa dan Adil kerana Nabi Isa yang telah menebus segala dosa kita. Saya sedar setelah membaca surah ini bahawa manusia tidak dapat menyelamatkan diri mereka daripada dosa kerana memang sifat manusia—kita tidak dapat mencapai tahap kesucian tanpa satu dosa pun. Oleh kerana itulah nabi Isa disalib kerana hanya dengan kematiannya dosa manusia dapat ditebus.

(2) Surah Matius 23: 25-26 Nabi Isa bersabda "…Kamu membersihkan diluar cawanmu dan pingganmu, tetapi didalamnya penuh dengan perkara-perkara yang kamu peroleh dengan jalan kekerasan dan tamak. Bersihkanlah dahulu apa yang ada di dalam cawan itu, baharu luarnya menjadi bersih juga." Matius 23:28 "Demikianlah di luar kamu nampaknya baik kepada orang, tetapi di dalam, kamu semata-mata berpura-pura dan penuh dengan dosa".

Disini jelas Nabi Isa membenci sifat hipokrit didalam amalan agama. Saya tahu melalui pengalaman saya sendiri betapa senangnya untuk bersolat 5 kali sehari, berpuasa sebulan tetapi dalam hati saya penuh dengan perasaan hasad dengki terhadap orang lain dan dibelakang orang saya mencaci atau bercakap buruk mengenai mereka. Saya sedar setelah membaca ayat ini betapa benarnya apa Nabi Isa berkata mengenai sifat manusia yang semulajadi. Oleh kerana sifat manusia ini yang tidak pernah jauh dari dosa—sebab itulah manusia tidak ada keupayaan untuk menyelamatkan diri mereka sendiri daripada bala api neraka. Dan hanya dengan kematian Nabi Isa dosa manusia dapat ditebus. Allah telah memberi manusia penyelesaian kepada dilema manusia. Kita hanya perlu percaya dan menerima hakikat bahawa Nabi Isalah jalan pengampunan dosa kita kerana tanpanya kita tidak dapat menyelamatkan diri kita sendiri.

Setelah memikirkan semua yang telah saya baca dalam kitab Injil, saya mengambil keputusan untuk memeluk agama Kristian. Semenjak hari itu, saya tidak pernah kesal dengan keputusan ini.

Saya boleh dihubungi melalui alamat emel to_aishah@yahoo.com.

Aishah


Homepej-homepej Bahasa Melayu dan Indonesia
More Testimonies